SHAH ALAM, 15 OKT: Persidangan Asean dipengerusikan Malaysia tahun depan membawa keistimewaan apabila turut melibatkan negara bawah Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Plus China.
Perdana menteri berkata ia menjadi sejarah baharu berikutan penyertaan Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selain kerjasama dengan China.
Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan juga sedang mengusahakan untuk Timor Laste menyertai persidangan itu, sekali gus bakal menjamin peningkatan kekuatan ekonomi serantau.
“Kemuncaknya ada kelainan. Ini kali pertama Asean akan anjurkan persidangan 10 negara Asean dan negara GCC Plus China dan China juga akan bersama. Ini sejarah Asean meneroka kawasan baharu termasuk dunia Arab dan China.
“Hanya akan berlaku tahun depan dan menjadi permulaan untuk Asean selain meneruskan perjumpaan berikutnya dengan negara dialog seperti China, Korea, Jepun, India, Australia dan New Zealand,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga ahli Parlimen Gombak bertanyakan persiapan Malaysia dan hala tuju sebagai pengerusi Asean tahun depan.
Pada masa sama, Anwar berkata Malaysia menumpukan tiga elemen utama sebagai pengerusi Asean dalam usaha melonjak serta meningkatkan kekuatan ekonomi di rantau ini.
"Kalau kita boleh jalin kerjasama, maka keupayaan kita akan meningkat kerana penekanan Malaysia adalah terhadap transformasi digital, termasuk perjanjian rangka kerja ekonomi digital Asean.
“Keduanya, perjanjian perdagangan bebas Asean dan dialog termasuk dengan EU dan ketiga adalah rangkaian tenaga grid Asean," katanya.








