KUALA LUMPUR, 15 OKT: Beberapa jalan di Kuala Lumpur dinaiki air susulan hujan lebat berterusan yang bermula sejak kira-kira 9 pagi tadi.
[caption id="attachment_668193" align="alignleft" width="342"]
Beberapa lokasi sekitar ibu negara dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi, antaranya di sekitar Wisma Bernama dan Bank Negara ketika tinjauan pada 15 Oktober 2024. Foto X BERNAMA[/caption]
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Integrated Transport Information System (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan hantaran di media sosial oleh orang awam, beberapa jalan sekitar Kuala Lumpur dinaiki air menyebabkan aliran trafik terganggu antaranya di Jalan Parlimen menghala ke Bukit Aman, Jalan Perak dan Lebuhraya Sultan Iskandar.
Tinjauan Bernama turut mendapati laluan masuk ke Wisma Bernama dari arah Jalan Tun Razak turut dinaiki air dan kedengaran sistem penggera keselamatan di Sungai Bunus menandakan paras bahaya.
Sementara itu laman X Smart Expressway memaklumkan bahawa terowong smart ditutup sepenuhnya untuk laluan pengguna dan operasi banjir sedang dijalankan.
“Pengguna Terowong Smart dinasihatkan memandu dengan berhati-hati. Sila rancang perjalanan anda dan patuhi arahan lalu lintas,” menurut hantaran itu.
-BERNAMA


