AMPANG JAYA, 13 OKT: Projek pembangunan loji rawatan air (LRA) dipantau bagi memastikan ia siap dalam waktu ditetapkan.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata penelitian setiap projek itu dilakukan terperinci supaya rakyat menerima manfaat.
Menurutnya, status pembangunan projek tersebut adalah tanggungjawab kementerian dan syarikat operator selain komitmen daripada Kerajaan Negeri.
“Secara keseluruhannya kita harapkan semua pihak terlibat dalam pembangunan infrastruktur ini memberi tumpuan khusus dalam memastikan projek selesai dengan baik.
“Contohnya seperti di Kedah, loji rawatan air belum siap dan kerajaan negeri meminda ke satu tarikh pada tahun depan. Perlu ada pemantauan bagi memastikan rakyat setempat dapat bekalan air sebaiknya,” katanya ditemui pada sambutan hari sungai sedunia peringkat Parlimen Ampang hari ini.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah menyeru masyarakat setempat untuk terus bersama agensi berkaitan menjaga sungai supaya mutu kualiti air berada dalam keadaan bersih.
“Pelbagai usaha dilakukan agensi dalam usaha penjagaan sungai namun kita mahu inisiatif ini disambut masyarakat setempat.
“Usaha ini perlu sepakat semua dalam meningkatkan mutu kualiti air supaya sungai dapat hidup dengan ekosistem sepatutnya. Selain sungai bersih ia dapat menjadi tarikan pelancong,” katanya.
[caption id="attachment_667963" align="aligncenter" width="1278"]
Orang ramai bergotong-royong membersihkan sungai pada Majlis Perasmian Mini Karnival Bersih, Indah dan Sihat MPAJ Sempena Hari Sungai Sedunia 2024 di Laman Niaga, Ampang Waterfront, Ampang pada 13 Oktober 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_667968" align="aligncenter" width="1044"]
Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail (tengah) bergotong-royong membersihkan sungai pada Majlis Perasmian Mini Karnival Bersih, Indah dan Sihat MPAJ Sempena Hari Sungai Sedunia 2024 di Laman Niaga, Ampang Waterfront, Ampang pada 13 Oktober 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]


