SHAH ALAM, 12 OKT: Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC menganjur pameran kesenian songket dalam usaha memperkenalkan warisan budaya negara kepada dunia.
Penganjuran Songket Malaysia Day Reception itu bersempena sambutan Hari Malaysia ke-61 yang disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sangat jarang rakyat Malaysia dapat menyaksikan penghasilan songket.
"Wajar untuk berkongsi proses tenunan dengan rakan-rakan di Amerika Syarikat, satu proses jarang yang dilihat oleh rakyat Malaysia sendiri," katanya memetik laporan Senimalaya.
Acara bertemakan Unesco Intangible Cultural Heritage: The Magnificent Golden Threads of Songket Fashion Show dianjurkan sehingga 25 Oktober dan terbuka kepada umum.
Ia disertai pereka fesyen Sharifah Kirana yang mempamerkan keanggunan songket yang diolah semula untuk era moden. Manakala Zachrin Jaafars pula hadir dengan koleksi diilhamkan kepelbagaian budaya 14 negeri di Malaysia.
Selain pertunjukan fesyen, antara tarikan lain demonstrasi langsung tenunan, pameran seni dan tekstil songket.