SHAH ALAM, 11 OKT: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berkenan mempersembah demonstrasi memasak sempena Sidang Kemuncak Niaga Selangor (SIBS) siri kedua 2024 yang berlangsung minggu depan.
SIBS menerusi Facebook memaklumkan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin diiringi cef selebriti Datuk Ismail Ahmad atau Cef Ismail membuat penampilan khas berkenaan pada 18 Oktober jam 3 petang.
Segmen yang berlangsung di Hall 1 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) turut disertai Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad.
SIBS siri dua anjuran Invest Selangor itu membuka tirai 16 Oktober selama empat hari meliputi Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) serta Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor.
Tahun ini buat julung kali Kerajaan Negeri menganjurkan program berprestij terbabit secara dua siri dengan sesi pertama berlangsung dari 25 hingga 27 Julai.
Melibatkan Ekspo Taman Perindustrian Selangor (Spark) dan Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC), siri berkenaan menjana nilai transaksi RM12.2 bilion, hampir dua kali ganda daripada sasaran keseluruhan RM7 bilion.
Sidang bertaraf antarabangsa itu turut menarik kehadiran 8,500 pelawat selain turut disertai negara jiran Asean, Australia, Kanada, China, Perancis, Jerman, Jepun, dan United Kingdom.