ad
AGENDA

Polis tahan wanita warga asing halang lalu lintas, perangai tidak senonoh

11 Okt 2024, 9:47 AM
Polis tahan wanita warga asing halang lalu lintas, perangai tidak senonoh

SHAH ALAM, 11 OKT: Polis menahan seorang wanita warga asing yang disyaki bertindak menghalang lalu lintas dan berkelakuan tidak senonoh di Setia Alam dekat sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata ujian air kencing turut mendapati wanita berusia 32 tahun yang tular di media sosial baru-baru ini itu positif dadah jenis delta-9 tetrahydrocannabinol (THC).

Beliau berkata wanita itu yang dikenal pasti sebagai gelandangan telah masuk ke Malaysia empat tahun lepas sebagai pelancong, namun gagal pulang ke negara asalnya akibat pandemik COVID-19 dan tidak mempunyai simpanan wang yang cukup.

Mohd Iqbal berkata sebelum itu, polis menerima panggilan daripada orang awam lebih kurang 4.50 petang berhubung seorang perempuan warga asing berkelakuan tidak senonoh dan menghalang lalu lintas di Jalan Setia Perdana Seksyen U13 Setia Alam dan mengarahkan unit kereta peronda ke lokasi kejadian.

"Anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati wanita itu bersama seekor anjing miliknya berada dalam keadaan mabuk dan telah bertindak agresif sebelum tangkapan dilakukan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati wanita itu tiada dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di Malaysia, manakala anjing peliharaannya telah diserahkan kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Iqbal seterusnya berkata wanita yang didapati tidak mempunyai rekod jenayah itu direman selama 14 hari bermula dua hari lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10 000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu tular video di media sosial yang memaparkan aksi wanita berkenaan yang bertindak menghalang lalu lintas dan berkelakuan kurang sopan di sekitar kawasan Setia Alam baru-baru ini.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.