SHAH ALAM, 11 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang dan Kuala Langat sehingga 11 pagi ini.
Amaran hujan lebat disertai ribut petir juga dijangka berlaku di Perlis dan Pulau Pinang. Beberapa kawasan di Kedah, Perak, Sarawak diramal alami keadaan sama.
Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.









