Oleh Norrasyidah Arshad dan Suhaila Shahrul Annuar
SHAH ALAM, 10 OKT: Kejayaan Skim Perlindungan Insurans Am (INSAN) yang dilaksana Kerajaan Negeri dinilai dari jumlah penerima polisi, bukannya jumlah tuntutan, menurut mantan ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Menegaskan perkara itu, Norita Mohd Sidek berkata skim berkenaan melindungi enam juta penduduk dengan pampasan sehingga lebih RM10,000 sekiranya hilang keupayaan kekal dan meninggal dunia akibat kemalangan.
[caption id="attachment_667374" align="aligncenter" width="809"] Mantan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Sidek mengangkat sumpah pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawab dan Ketelusan (Selcat) berhubung pelaksanaan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) dan hala tuju masa hadapannya di Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 Oktober 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kejayaan program ini bukan kepada jumlah tuntutan tetapi statistik perlindungan. Kita buat program jerayawara untuk (galakkan) orang masuk daftar dan dilindungi.
"Jadi data kita dapat enam juta (berdaftar). Inilah kejayaan, bukan jumlah tuntutan,” katanya ketika menjawab isu dibangkitkan anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) yang mempertikaikan jumlah tuntutan dan bayaran pampasan di Wisma Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mempertikaikan pampasan dibayar Kerajaan Negeri kira-kira RM910,000 berbanding bayaran kepada syarikat pengendali sebanyak RM21 juta selain hanya 166 pemegang polisi membuat tuntutan.
Norita menjelaskan, INSAN merupakan program yang sangat baik kerana ia meringankan beban waris pemegang polisi yang meninggal dunia atau hilang upaya kekal akibat kemalangan.
“Bila berlaku kematian, masa itu rakyat sedar mereka perlukan kos untuk pengurusan jenazah. Bila jadi kemalangan, kematian baru sedar.
“Ada kes rakyat datang (jumpa) apabila anak meninggal. Mereka nak tahu anak berdaftar atau tidak. Nasib baik anak mereka berdaftar jadi dapat manfaat,” katanya.
[caption id="attachment_625969" align="aligncenter" width="815"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura Skim Insurans Am Selangor (INSAN) kepada penerima ketika Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
Mula diperkenalkan pada 1 Oktober 2022, INSAN melindungi semua penduduk negeri ini berusia antara 30 hari hingga 80 tahun dengan premium ditanggung sepenuhnya Kerajaan Selangor.
Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.
Pada Ogos tahun lalu, skim berkenaan ditambah baik dengan elemen patuh syariah untuk memastikan masyarakat beragama Islam tidak ragu-ragu mendaftar.
Menerusinya, individu menerima perlindungan RM11,000 untuk kematian, kematian di luar negara (RM21,000), hilang upaya kekal (RM10,000) dan elaun RM50 sehari bagi kemasukan wad hingga 30 hari.
[caption id="attachment_625978" align="aligncenter" width="857"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura Skim Insurans Am Selangor (INSAN) kepada penerima ketika Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]