ad
AGENDA

Pentadbiran telus, HARAPAN buat pendengaran awam sejak teraju negeri

10 Okt 2024, 8:18 AM
Pentadbiran telus, HARAPAN buat pendengaran awam sejak teraju negeri

Oleh Norrasyidah Arshad dan Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan Selangor yang diterajui pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) terus konsisten mengamalkan pentadbiran telus dan terbuka menerima kritikan.

Ini terbukti apabila sebarang isu berbangkit dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) bagi semak dan imbang.

Hari ini, isu pelaksanaan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) yang pernah dipertikai wakil rakyat pembangkang dalam sidang Dewan Negeri turut diperdengar di hadapan anggotanya.

Mereka ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Wira Johan Abd Aziz, ADN Teratai Yee Jia Haur, ADN Hulu Kelang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan ADN Taman Medan Dr Afif Bahardin.

Sebelum sesi ini, beberapa siri pendengaran dijalankan bersama pegawai Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk memastikan maklumat dan keputusan konkrit bagi INSAN.

Sejak 2008 hingga 2020, Selcat mengadakan sebanyak 16 sesi pendengaran awam untuk memberi syor kepada Kerajaan Negeri bagi tindakan susulan terhadap sebarang isu berbangkit.

Isu itu antaranya kewangan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor, yang dipindah sebelum pilihan raya 2008, isu banjir di Hulu Langat dan Klang Selatan berserta penyelesaian dan kenaikan kes denggi.

Turut disentuh isu aduan orang ramai terhadap kakitangan awam tidak mematuhi Enakmen Kebebasan Maklumat tanpa alasan jelas dan prestasi khidmat ahli majlis serta 12 pihak berkuasa tempatan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.