AGENDA

Reman 24 ahli GISBH berakhir hari ini, keputusan lanjut bakal diumum KPN

10 Okt 2024, 2:32 AM
Reman 24 ahli GISBH berakhir hari ini, keputusan lanjut bakal diumum KPN

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Nasib 24 individu termasuk pimpinan tertinggi rangkaian GISB Holdings (GISBH), akan siasat selanjutnya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan diketahui hari ini.

Ini berikutan tempoh tahanan reman terhadap mereka berakhir hari ini.

Setakat ini berkemungkinan besar, semua atau sebahagian individu terbabit termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, bersama isteri dan anak akan siasat selanjutnya mengikut akta itu, lapor Berita Harian.

Manakala bagi mereka yang tidak akan ditahan mengikut SOSMA, berkemungkinan dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan terhadap mereka selesai.

24 individu terbabit sebelum ini ditahan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Tindakan itu adalah seperti yang dijelaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini pada 3 Oktober lalu.

Sebelum ini seramai 34 individu yang dikaitkan dengan GISBH ditahan semula di bawah SOSMA selepas tempoh tahanan reman mereka berakhir manakala 127 orang lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Semua yang terbabit dalam organisasi GISBH ditahan dalam Operasi Global 2024 (Op Global 24) bermula dari Fasa 1 sejak 8 September lalu hingga Fasa 4, pada 21 September lalu.

Satu sidang media akan diadakan petang ini, berhubung perkembangan terkini Op Global 24 oleh Razarudin berkaitan perkembangan siasatan dan tindakan terhadap GISBH di ibu negara.