ad
EXCO

Selangor sasar perkenal dasar khusus industri seni kreatif tahun depan

9 Okt 2024, 8:55 AM
Selangor sasar perkenal dasar khusus industri seni kreatif tahun depan

SUBANG JAYA, 9 OKT: Kerajaan Negeri berhasrat memperkenalkan dasar khusus dalam industri seni kreatif menjelang tahun depan, kata EXCO keusahawanan.

Mohd Najwan Halimi berkata dasar berkenaan perlu diwujudkan bagi memastikan sektor seni kreatif memiliki hala tuju yang jelas khususnya sebagai antara penyumbang ekonomi Selangor.

“Kita mahu gubal satu dasar dan polisi untuk dijadikan sebagai pelan tindakan ekonomi seni kreatif. Ini kerana di peringkat negeri tidak ada yang mulakan, hanya ada di peringkat Pusat.

“Saya mahu pastikan di Selangor sekurang-kurangnya kita ada panduan. Kita akan dokumentasi pandangan, angkat saranan ke peringkat Kerajaan Negeri dan format satu dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program perbincangan berkumpulan bersasar bersama kira-kira 100 wakil pemain industri kreatif di Hotel Sunway Resort di sini, hari ini.

Program anjuran Selangor Youth Community (SAY) dan Institut Pengajian Sains Sosial di Universiti Putra Malaysia (UPM) membincangkan pelbagai perkara seperti peluang dan cabaran dalam sektor ekonomi kreatif.

Dalam pada itu, Mohd Najwan turut berhasrat membawa hasil perbincangan dalam program berkenaan kepada Kerajaan Negeri untuk dipertimbang dalam Belanjawan Selangor 2025.

“Kita akan jadikan platform ini sebagai salah satu objektif kita. Selepas dengar ini kita akan bawa kepada Dato’ Menteri Besar tentang apa-apa keperluan yang boleh kita selaraskan pada masa akan datang,” katanya.

Pada Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukkan RM4.8 juta kepada usahawan dan industri ekonomi kreatif.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.