ad
AGENDA

Majlis Perbandaran Port Dickson sita khemah biru di Pantai Telok Kemang

9 Okt 2024, 4:38 AM
Majlis Perbandaran Port Dickson sita khemah biru di Pantai Telok Kemang

SEREMBAN, 9 OKT: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menyita sembilan unit khemah biru yang dipasang tanpa penyewa di sekitar Pantai Telok Kemang, Port Dickson dekat sini.

MPPD dalam kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa tindakan ini adalah hasil operasi pemantauan dan kawalan khemah biru di pantai berkenaan oleh anggota penguat kuasa MPPD pada 5 dan 6 Okt lepas.

"Hasil pemantauan tersebut, sembilan unit khemah bersaiz 10'x10' yang dipasang tanpa penyewa telah disita. Tindakan penguatkuasaan seperti ini dijalankan secara berkala dan berterusan," menurut kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan akan berbincang dengan pengusaha khemah di sekitar Pantai Telok Kemang dalam waktu terdekat, susulan isu deretan khemah sewa di kawasan itu yang didakwa mengganggu pemandangan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon berkata pelbagai aspek akan dinilai sebelum membuat keputusan memandangkan kebanyakan pengusaha telah lama beroperasi dan menjalankan perniagaan di situ.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.