ad
AGENDA

Taktik seludup dadah di sebalik udang segar sejuk beku tumpas

8 Okt 2024, 5:36 AM
Taktik seludup dadah di sebalik udang segar sejuk beku tumpas

JOHOR BAHRU, 8 OKT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan sindiket penyeludupan dadah terbesar tahun ini melibatkan rampasan bernilai RM12.05 juta selepas menyita sebuah kontena sejuk beku di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di Iskandar Puteri 1 Oktober lalu.

Pengarah Kastam Johor Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata rampasan 60.2 kilogram (kg) serbuk mampat disyaki kokain itu dilakukan pada 11.15 pagi hasil maklumat dan risikan selama sebulan oleh Cawangan Risikan Zon Selatan.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kontena itu didapati membawa 19 tan udang segar sejuk beku bernilai RM735,000 yang diikrar sebagai barang dagangan.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan rapi kita menemukan 62 bungkusan plastik mengandungi serbuk mampat putih disyaki kokain yang disembunyikan di ruang pendingin hawa kontena.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kontena berkenaan berada di pelabuhan itu dalam dua atau tiga hari sebelum operasi sitaan dibuat," katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor di sini hari ini.

Beliau berkata hasil maklumat mendapati kontena dari India itu transit di pelabuhan berkenaan sebelum dibawa ke destinasi seterusnya iaitu di Miami, Amerika Syarikat.

Aminul Izmeer berkata pihaknya akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa bagi menyiasat kes berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata modus operandi sindiket penyeludupan dadah berkenaan didapati sama dengan kes rampasan dilakukan pihaknya yang melibatkan 50 kg kokain selepas menyita sebuah kontena dari China di pelabuhan sama Mei lalu.

"Sindiket itu turut menyembunyikan dadah di ruangan pendingin hawa, namun berdasarkan siasatan awal sindiket berkenaan didapati tidak mempunyai kaitan dengan kes terbaharu ini," katanya.

Sitaan kontena membawa 60.2 kg dadah disyaki kokain itu tidak melibatkan sebarang penahanan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.