SHAH ALAM, 8 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menaja langganan aplikasi pendidikan digital kepada 240 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi persiapan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Air Selangor berkata program dengan kerjasama Pandai Education Sdn Bhd (Pandai) itu merupakan inisiatif tahun kedua program Memperkasakan Pembelajaran Dalam Talian melalui aplikasi Pandai.
“Kami komited dalam menyumbang kembali kepada komuniti sekitar dengan memberikan sokongan kepada anak-anak daripada keluarga B40 menerusi akses pembelajaran digital yang berkualiti.
“Kami harap ia dapat membantu mereka membuat persiapan menghadapi SPM selain meningkatkan prestasi akademik secara keseluruhan,” maklumnya menerusi Facebook.
Air Selangor memaklumkan aplikasi Pandai menyediakan pendidikan digital yang interaktif bagi membolehkan pelajar kekal cemerlang dan terus diberi perhatian untuk menerima pembelajaran berkualiti.
Tambahnya, penerima langganan aplikasi Pandai Premium bagi tahun ini terdiri daripada 72 pelajar anak-anak warga kerja Air Selangor dan 60 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong.
Turut menerima tajaan berkenaan adalah 40 pelajar SMK Padang Tembak, 13 pelajar Rumah Kebajikan Kasih Harmoni Paya Jaras, dan 55 pelajar daripada pengguna aplikasi asas Pandai yang terpilih.
“Sehingga kini, Air Selangor telah menaja seramai 415 pelajar sebagai penerima langganan aplikasi tersebut termasuk 175 orang pelajar pada tahun lepas,” ujarnya.


