HULU LANGAT, 7 OKT: Tekad luar biasa Selangor memberi keutamaan dalam aspek pendidikan melalui pelbagai usaha wajar dicontohi negeri lain, kata menteri pendidikan.
Mengambil contoh Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), Fadhlina Sidek berkata program itu membuahkan hasil apabila negeri itu mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Negeri (GPN) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
“Kejayaan PTRS ini sebagai sebuah ekosistem yang dibina bukan saja untuk melihat satu aspek pendidikan tetapi sistem akademik secara keseluruhan.
“Program ini intervensinya bukan untuk satu hala sahaja tetapi melibatkan pembangunan aspek guru, kebajikan pelajar, penglibatan ibu bapa, kemenjadian pelajar yang mana kita harap ia dapat disinergikan dalam konteks pembangunan keseluruhan potensi anak-anak,” katanya.
Terdahulu beliau merasmikan program Tekad Reformasi Pendidikan di sini, hari ini. Majlis turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
[caption id="attachment_666943" align="alignnone" width="880"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melawat reruai pameran selepas majlis perasmian Program Tekad Reformasi Pendidikan di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada 7 Oktober 2024.Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Fadhlina ketika berucap berkata kejayaan Selangor wajar dicontohi dan dikongsi amalannya bagi memartabat pendidikan anak bangsa.
“Keputusan SPM yang lepas menunjukkan Selangor beri lonjakan sangat luar biasa yang mana ia tidak akan hadir tanpa komitmen dan kesungguhan barisan hadapan pastinya guru-guru dan ekosistem lain yang turut mendokong kejayaan ini seperti PTRS.
“Dalam bidang sukan sekolah Selangor juga mengungguli. Selama 22 tahun tiada juara lain dalam Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kecuali Selangor,” katanya.
Sementara itu, Amirudin Shari berkata Selangor konsisten dengan pendirian bahawa pendidikan harus menjadi asas penting kepada pembangunan serta kemajuan sesebuah negeri dan negara.
“Untuk memastikan ekonomi Selangor terus menjadi asas kukuh, kekal lestari sebagai kuasa ekonomi dalam negara, pendidikan adalah asas yang tidak boleh dilupakan,” katanya.
Selain PTRS antara inisiatif lain Selangor dalam memperkasa aspek pendidikan termasuklah menyediakan bantuan e-baucar buku mahasiswa Kita Selangor yang memanfaatkan 1,000 mahasiswa dengan peruntukan keseluruhan RM200,000.
Selain itu pewujudan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) iaitu institusi pendidikan teknikal bawah Kerajaan Negeri yang menawarkan pelbagai latihan kemahiran berkualiti dan berdampak tinggi ke arah revolusi industri 4.0.


