SHAH ALAM, 5 OKT: Empat buku terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor antara 10 karya terjemahan paling laris pada September.
Menurut syarikat penerbitan itu, naskhah berkenaan termasuklah Memelihara Jiwa: Petua daripada Tabib Kurun ke-9 dan Muslihat Mahathir: Mengharung Zaman Gelora.
Turut mendapat permintaan ramai adalah Mata-Mata Gelap Malaya: Peranan Cawangan Khas pada Zaman Darurat 1945–60 dan 'Umar Al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang.
Naskhah riwayat Rasulullah berjudul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal karya Martin Lings yang dihasilkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) kekal sebagai buku terlaris.
"Selain buku terlaris Muhammad, minggu lalu menunjukkan peningkatan permintaan genre sejarah dan Malaysiana. Gelagat dan Ragam Orang Melayu dan Detik-detik Akhir Empayar Utsmaniah merangkul kedudukan 3 dan 8.
"Selain itu, buku Muslihat Mahathir (no. 4) dan Mata-Mata Gelap Malaya (no. 6) masih bertahan dalam carta mingguan," maklum IBDE di Facebook.
Karya-karya Imam al-Ghazali masih diulit laris. Ramuan Kebahagiaan berada di kedudukan ke-4 carta, Penyelamat daripada Kesesatan (no. 9) dan Menghidupkan Ilmu Agama Jilid 5 (no. 10).
"40 Hadis Imam Nawawi (no. 7) kekal dalam carta sebagai melengkapi genre agama. Tak ketinggalan, buku Memelihara Jiwa terus sebagai buku kedua terlaris untuk dua minggu pertengahan September.
"Terima kasih para pembaca budiman dan bukuwan setia. Dengan buku, kalbu digugah dunia diteroka.
Terjemahan karya agung dunia, Buku IBDE," katanya.
IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.
Karya terbitan IBDE boleh didapati melalui kedai buku Rencana di Sri Damansara, Petaling Jaya atau secara atas talian menerusi pautan bukuibde.com