KUCHING, 5 OKT: Umpama sirih pulang ke gagang, penyanyi asal Sarawak Hafiz Suip memilih negeri kelahiran sebagai lokasi konsert sulungnya yang bakal berlangsung di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini pada 13 Okt ini.
Hafiz, 34, atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip berjanji akan membuat kejutan sepanjang persembahan ‘Konsert Hafiz Suip - Perjalananku’ yang memanifestasikan kisah suka dan duka selama 15 tahun bergelar anak seni.
“Konsert ini akan menceritakan perjalanan sebenar saya sebagai penyanyi menerusi empat segmen bermula daripada tiada siapa yang kenal kepada seorang penyanyi, berkisarkan pengalaman hidup, pencapaian dan cabaran yang saya lalui…saya ingin kongsikan momen ini bersama peminat menerusi persembahan pada malam nanti.
“Sebagai anak kelahiran Kuching, Sarawak saya berasa amat bangga dapat mengadakan konsert ini di kampung halaman saya sendiri kerana sebelum ini saya hanya tertumpu di Semenanjung sahaja,” katanya dalam sidang media ‘Konsert Hafiz Suip - Perjalananku’ di sini baru-baru ini.
Penyanyi yang menempa nama menerusi lagu seperti ‘Awan Nano’, ‘Ku Akui’ dan ‘Bahagiamu Deritaku’ mengorak langkah dalam industri muzik setelah menjuarai rancangan realiti Akademi Fantasia musim ketujuh pada 2009.
Mahu menghadiahkan kenangan terindah buat peminatnya, konsert berkenaan turut menampilkan penyanyi Ernie Zakri yang akan berpadu suara menerusi ‘Berakhirlah Pencarianku’ sekali gus menjadi persembahan duet secara langsung pertama bagi lagu itu.
Pemenang tiga kali vokal terbaik di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) itu berharap ‘Konsert Hafiz Suip - Perjalananku’ menjadi platform untuk beliau mendekati serta berinteraksi dengan peminatnya secara santai.
“Selama ini bila saya membuat persembahan saya hanya mampu lihat peminat dari kejauhan sahaja, jadi konsert kali ini saya nak dekat dengan peminat supaya mereka tidak rasa malu dan tahu saya ini mudah didekati… tanpa mereka tiadalah Hafiz Suip,” katanya yang akan turut menyampaikan lagu terbaharunya ‘Terus Bersinar’.
Bakal memukau halwa telinga peminatnya selama dua jam dengan dendangan 14 lagu yang mengisahkan perjalanan karier seninya, konsert sulung Hafiz juga menyerlahkan bakat komuniti kreatif di Sarawak apabila majoriti kru dan pemuzik yang terlibat adalah dari negeri ini.
Konsert Hafiz Suip - Perjalananku anjuran MCF Event yang melibatkan kapasiti penonton kira-kira 2,500 orang bakal bermula 8 malam dan tiket boleh didapati di laman web mcfevent.com dengan harga antara RM88 dan RM488.
- BERNAMA








