AGENDA

Seluruh Selangor, KL dan Putrajaya diramal hujan lebat hingga 11 malam

4 Okt 2024, 1:33 PM
Seluruh Selangor, KL dan Putrajaya diramal hujan lebat hingga 11 malam

SHAH ALAM, 4 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 11 malam.

Cuaca hujan disertai ribut petir juga diramal berlaku di seluruh Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Melaka dan Langkawi selain beberapa kawasan Perak, Pahang, Johor dan Sarawak.

MetMalaysia memaklumkan di Facebook, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.