AGENDA

Selangor meterai perjanjian pengurusan Paya Indah Wetlands, sokong pulihara biodiversiti

3 Okt 2024, 11:51 AM
Selangor meterai perjanjian pengurusan Paya Indah Wetlands, sokong pulihara biodiversiti

PUTRAJAYA, 3 OKT: Selangor menandatangani Perjanjian Operasi dan Pengurusan Tanah Rizab Paya Indah Wetlands (PIW) bagi menggalakkan pembangunan pelancongan yang menyokong pemuliharaan biodiversiti.

Perjanjian tiga pihak itu turut melibatkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam mewakili Kerajaan Persekutuan dan Gamuda Land-Discovery Wetlands Sdn Bhd (DWSB).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama itu akan memberi nilai tambah berterusan kepada ekosistem pelancongan negeri sekali gus menjamin kemampanan pengurusan paya bakau dan  pemuliharaan biodiversiti.

“Ia akan menjadi salah satu daripada tempat pembelajaran secara langsung kepada pelajar atau mahasiswa serta pengunjung selain berpotensi dikembangkan untuk aktiviti rekreasi dan juga sukan lasak tertentu.

“Ia juga menjadi gabungan pelancongan menarik untuk aktiviti keluarga kerana berdekatan dengan tarikan lain dibina Gamuda Land seperti Splash Mania yang akan memberi nilai tambah kepada Tahun Melawat Selangor 2025,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian berkenaan hari ini.

Sementara itu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata usaha sama itu adalah model kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak swasta dalam memajukan sektor ekopelancongan.

“Ia selari dengan Tindakan 7.1, Dasar Kepelbagaian Biodiversiti Kebangsaan 2022-2030 yang menggalakkan pembangunan pelancongan menyokong pemuliharaan biodiversiti dengan memudah cara pelaburan dan konsesi ke arah pembangunan ekopelancongan bertanggungjawab dan lestari.

“Kedudukannya yang strategik dikelilingi bandar Dengkil, Cyberjaya dan Putrajaya menjadikannya destinasi utama ekopelancongan,” katanya.

Terdahulu, perjanjian itu ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Dr Ching Thoo Kim dan Pengarah Eksekutif Gamuda Land Dato’ Abdul Sahak Safi sambil disaksikan Amirudin dan Nik Nazmi.

Melalui perjanjian yang berkuatkuasa sehingga 31 Julai 2037 itu, DWSB akan mengambil alih operasi dan pengurusan PIW, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia memfokus kepada program konservasi hidupan liar manakala Kerajaan Negeri Selangor kekal sebagai pemilik tanah PIW.

Satu Jawatankuasa Kerja Bersama yang akan dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan pematuhan kerjasama strategik itu manakala perkara melibatkan keputusan dasar akan diputuskan oleh Jawatankuasa Induk Tanah Rizab Paya Indah Wetlands yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian.

PIW mempunyai ekosistem tanah lembap terdiri daripada tasik air tawar dan hutan paya gambut berkeluasan 450.76 hektar yang telah diwartakan sebagai tapak perlindungan tanah lembap di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara pada 17 Februari 1998 oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Ia kaya dengan pelbagai khazanah biodiversiti antaranya 235 spesies burung termasuk spesies burung hijrah air, mamalia (63), reptilia (20), amfibia (10), ikan (14) serta hampir 220 jenis tumbuhan dan herba dengan tarikan utamanya termasuk badak air, buaya, merak, kuda, landak, arnab dan kura-kura.