SHAH ALAM, 3 OKT: Festival Turath Islami Selangor yang diadakan sejak tahun lalu dicadang menjadi salah satu pengisian dalam kalendar Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Koordinator Program Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) berkata ia berikutan program itu mendapat sambutan baik dari seluruh negara, termasuk tontonan di media sosial.
"Program siri talaqi ini mendapat tempat dalam kalangan rakyat Selangor dan luar sejak dianjurkan, justeru kita cadang untuk anjurkan lagi tahun hadapan.
"Sekiranya (program ini) dapat dimasukkan dalam kalendar TMS2025 pun bagus, ramai orang boleh rancang (awal) untuk datang,” kata Mohd Anwar Mohd Yusof.
[caption id="attachment_666203" align="alignright" width="395"] Koordinator program IBDE Mohd Anwar Mohd Yusof[/caption]
Beliau ditemui selepas sesi kuliah dhuha Majlis Talaqi Kitab Ihya’ Ulumuddin dan Mawaqif Al Marjan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Dalam siri kuliah terakhir hari ini, tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyeru umat Islam rajin berselawat dan menjaga adab terutama ketika menuntut ilmu.
“Apabila baca ayat al-Quran dan mendengar ceramah, penceramah termasuk yang mendengar ceramah perlu menjaga adab. Apabila kurang beradab, maka hilang keberkatan.
“Apabila kita berselawat, Allah tambah rahmat kepada hambaNya. Malaikat pula berselawat memohon Allah ampunkan dosa manusia, betapa sucinya malaikat minta ampun untuk kita,” katanya.
Bermula Selasa, program meliputi dua sesi iaitu kuliah dhuha mulai 9 hingga 11 pagi dan kuliah isyak dari 9 hingga 11 malam. Pada 2 dan 3 Oktober, sesi hanya melibatkan kuliah dhuha.
Selain IBDE, siri tersebut turut dianjurkan bersama Media Selangor Sdn Bhd, Akademi Pemikiran Turath, pejabat Dato’ Menteri Besar dan masjid negeri.
[caption id="attachment_666202" align="aligncenter" width="691"] Tokoh Ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni mengupas kitab besar Ihya' Ulumuddin dan Mawaqif Al Marjan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 3 Oktober 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]