ad
AGENDA

Pemandu wanita terselamat, pokok hempap kereta

2 Okt 2024, 1:11 PM
Pemandu wanita terselamat, pokok hempap kereta

SHAH ALAM, 2 OKT: Hujan lebat petang tadi menyebabkan sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta dalam kejadian berhampiran stesen sistem transit aliran ringan (LRT) Taman Megah, Petaling Jaya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pemandu wanita berusia 33 tahun itu terselamat dan diserahkan kepada ahli keluarganya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.39 malam sebelum lapan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Damansara ke lokasi.

"Sebatang pokok tumbang dan menghempap kereta jenis Perodua Axia berhampiran Stesen LRT Taman Megah, Petaling Jaya.

"Terdapat seorang mangsa wanita berumur 33 tahun di dalam kereta dan berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat seterusnya diserahkan kepada keluarganya," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu dalam kejadian berasingan sebatang pokok tumbang di jalan menghala ke Sungai Pusu, Gombak.

Ahmad Mukhlis berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.10 petang dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi yang jaraknya 10 kilometer (km).

"Sebaik tiba didapati sebatang pokok tumbang dan menghalang jalan, namun tidak membabitkan mangsa," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.