SHAH ALAM, 30 SEPT: Usahawan di negeri ini yang memerlukan modal untuk mengembangkan perniagaan dipelawa memohon skim pembiayaan i-Bisnes.
Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) memaklumkan agensi itu menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada usahawan untuk menambah modal kerja.
"Skim i-Bisnes menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 bagi membantu usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk mendapatkan modal pusingan perniagaan.
Layari hijrahselangor.com untuk maklumat lanjut atau imbas kod QR (poster di bawah) untuk permohonan dalam talian,” katanya di Facebook.
Pada 11 September, Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Selangor berkata pihaknya meluluskan 90,475 pembiayaan sejak awal penubuhannya pada 2015 hingga Ogos lalu.
Jelas Dato’ Mearia Hamzah, pembiayaan itu telah memanfaat 60,249 usahawan Hijrah Selangor, sekali gus membantu mereka melakukan pusingan modal perniagaan serta membeli kelengkapan perniagaan.
Sebelum ini Mearia memaklumkan pihaknya meletak sasaran untuk memberi pinjaman RM1 bilion kepada usahawan sempena sambutan ulang tahun kesembilan agensi itu pada tahun ini.