AGENDA

Laluan sepanjang Pelabuhan Klang akan dibaiki, bakal muktamad kos

27 Sep 2024, 7:48 AM
Laluan sepanjang Pelabuhan Klang akan dibaiki, bakal muktamad kos
Laluan sepanjang Pelabuhan Klang akan dibaiki, bakal muktamad kos

PELABUHAN KLANG, 27 SEPT: Kerajaan akan meluluskan peruntukan bagi memperbaiki laluan sedia ada di sepanjang Pelabuhan Klang, seiring usaha mengembang infrastruktur di pelabuhan utama negara.

Perdana menteri berkata kerajaan juga akan menyokong pembangunan di kawasan sekitar bagi memastikan Pelabuhan Klang khasnya Pelabuhan Barat (Westports) menduduki lima tangga teratas dunia.

“Sekarang Pelabuhan Barat berada di tangga 11, mengapa tidak keempat atau kelima? Banyak saya dengar terutama berkaitan jalan raya tetapi ia mengambil masa (baiki).

“Saya setuju untuk luluskan peruntukan baiki jalan sedia ada. Kita tumpukan Pelabuhan Klang dahulu untuk periksa keluasan dan kos terlebih dahulu,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

[caption id="attachment_665307" align="alignleft" width="733"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Westports 2 di kawasan Terminal CT9, Pelabuhan Klang pada 27 September 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Beliau ditemui pada majlis ramah mesra bersama komuniti Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Klang serta majlis pecah tanah, diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Anwar yang juga menteri kewangan menambah Putrajaya sentiasa aktif mencari peluang pelaburan baharu untuk meningkatkan ekonomi melalui perdagangan antarabangsa antaranya di Rusia dan China.

"Walaupun menyedari negara-negara ini mempunyai kepentingan politik masing-masing, kita beri pandangan tetapi keutamaan adalah kebajikan rakyat.

“Selain pelaburan tingkat ekonomi dengan sahabat lama, kita cari peluang dengan rakan baharu. Ini cara kita mencari jalan supaya dapat buka pasaran baharu,” katanya.

Dalam pada itu, pengerusi eksekutif Westports Malaysia berkata Pelabuhan Barat 2 penting dalam memastikan masa depan Malaysia terjamin sebagai hab maritim dan logistik global.

Menurut Datuk Ruben Emir Gnanalingam, pelabuhan baharu itu dijangka menjana keluaran sebanyak RM55 bilion kepada ekonomi dan mewujudkan zon bebas baharu dengan keluasan tanah 550 ekar.

“Kawasan zon bebas ini akan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dan merangsang pusat pengedaran serantau dan global.

"Pelabuhan Barat 2 juga akan dibangunkan dengan automasi dan pendigitalan yang mana lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi akan diwujudkan untuk rakyat,” jelasnya.