AGENSI

Jais anjur seminar kajian Islam, perkasa kefahaman isu semasa, cabaran masa depan

26 Sep 2024, 9:40 AM
Jais anjur seminar kajian Islam, perkasa kefahaman isu semasa, cabaran masa depan
Jais anjur seminar kajian Islam, perkasa kefahaman isu semasa, cabaran masa depan

SHAH ALAM, 26 SEPT: Seramai 150 peserta dari agensi agama negeri menyertai Seminar Kajian Islam anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jais berkata seminar kajian yang dibentang tiga ahli akademik itu bertujuan menambah ilmu pengetahuan serta memperkasa kefahaman terhadap isu-isu semasa.

Mohd Faizal Abdul Raji memaklumkan kajian pertama mengenai kesedaran hukum ihdad wanita kerjaya di Selangor yang dibentang Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Islam Selangor (UIS) Norazla Abdul Wahab.

“Manakala kajian kedua oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Ahmad Munawar Ismail menyentuh Refleksi Kritis Yusuf al-Qaradawi terhadap ekstremisme agama.

“Selain itu, seminar turut membawa pembentangan pelan strategik menjadikan masjid tumpuan komuniti oleh Pensyarah Jabatan Dakwah dan Usuluddin Fakulti Pengajian dan Perabadan Islam UIS Prof Madya Dr Mariam Abd Majid,” katanya kepada pemberita.

[caption id="attachment_665169" align="aligncenter" width="698"] Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Tuan Mohd Faizal Abdul Raji menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Seminar Kajian Islam Peringkat Selangor di Seraya Ballroom, Acappella Suite Hotel, Shah Alam pada 26 SEPTEMBER 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Mohd Faizal berkata pembetangan ketiga-tiga hasil kajian akan diteliti oleh Jais dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sebaik-baiknya sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Seminar yang kita buat hari ini adalah percuma buat peserta yang terdiri daripada pegawai tadbir agama Jais seluruh daerah, wakil dari Mais dan Perbadanan Wakaf Selangor.

“Selain menambah ilmu, sudah semestinya hasil kajian akan dibawa ke jabatan masing-masing untuk diperincikan,” jelasnya.