ad
AGENDA

Pakar cadang Putrajaya gubal undang-undang daftar parti politik

26 Sep 2024, 2:30 AM
Pakar cadang Putrajaya gubal undang-undang daftar parti politik

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Kerajaan Persekutuan wajar mempertimbang untuk menggubal undang-undang khusus bagi menambah baik proses pendaftaran parti politik.

Pakar perlembagaan berkata langkah itu memandangkan mereka yang terlibat dalam parti politik akan menjadi kerajaan dan membuat polisi yang akan memberi kesan kepada seluruh negara.

“Jadi ia perlu sebuah perundangan khusus yang memperuntukkan proses pendaftaran, penilaian aktiviti dan menguruskan urusan dalaman parti politik itu berdasarkan perlembagaan parti,” kata Prof Datuk Shamrahayu Ab Aziz.

Beliau berkata demikian pada program libat urus mesyuarat ketiga sidang Dewan Rakyat bersama pengamal media di Blok Utama Parlimen di sini semalam.

Tambah beliau, proses pendaftaran parti politik kini dilaksanakan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) iaitu jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Shamrahayu juga berpandangan wakil rakyat perlu mengamalkan pembudayaan politik matang dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan parti masing-masing.

Menurutnya, pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti perlu diselaraskan dengan literasi politik dalam kalangan wakil rakyat bagi mengelak perbuatan 'beralih angin' dengan bertukar parti.

“Tidak semua isu (lompat parti) yang berbangkit hanya boleh diselesaikan melalui saluran undang-undang.

“Jika orang politik membuat tindakan yang kurang bijak dengan mengikut emosi, buatlah undang-undang macam mana sekalipun, ia tidak akan menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.