KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Pengamal media memainkan peranan penting dalam memberi pengetahuan dan pemahaman kepada masyarakat mengenai fungsi Parlimen sebagai institusi perundangan.
Ketua pentadbir Parlimen Malaysia berkata penyediaan laporan berita dan analisis tepat serta jelas membantu masyarakat memahami rang undang-undang (RUU) yang dipinda selain dibincang di Dewan Rakyat.
[caption id="attachment_664942" align="aligncenter" width="812"] Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia Dato’ Ahmad Husaini Abdul Rahman berucap pada program Libat Urus Mesyuarat Ketiga Sidang Dewan Rakyat Bersama Pengamal Media di Dewan Bankuet, Blok Utama Parlimen pada 25 September 2024. Foto Parlimen Malaysia[/caption]
“Pihak media bukan sahaja berperanan membuat liputan persidangan semata-mata tetapi menjadi platform memperjelaskan setiap RUU yang diputuskan di Dewan Rakyat kepada rakyat.
“Pengamal media juga perlu menangkis agensi lain yang sengaja menimbulkan kontroversi dan sengaja memainkan isu 3R (agama, kaum dan raja) dengan memberi penjelasan mengikut etika kewartawanan,” kata Dato’ Ahmad Husaini Abdul Rahman.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Libat Urus Mesyuarat Ketiga Sidang Dewan Rakyat bersama Pengamal Media di Blok Utama Parlimen di sini hari ini.
Menurutnya lagi, program Hari Terbuka Parlimen Malaysia dianjurkan pada Mei tahun lalu bertujuan mendekatkan masyarakat dengan institusi perundangan selain memberi pendedahan peranan Dewan Rakyat.
“Masih ramai tidak memahami fungsi sebenar Dewan Rakyat jadi Parlimen Malaysia melihat persepsi ia hanya institusi gubal undang-undang perlu diperbetulkan.
“Kerjasama dan bantuan daripada pihak media amat penting untuk menjayakan agenda ‘Merakyatkan Parlimen’ ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menghargai peranan pengamal media yang sentiasa melaporkan setiap perkembangan berlaku di Dewan Rakyat, sama ada semasa atau di luar persidangan.
“Pusat Parlimen Media diwujud untuk keselesaan petugas media yang menyedia ruang kerja selesa, kemudahan internet bersama ruang sidang media tersusun sepanjang persidangan,” katanya.