AGENDA

MB: Sultan titah percepat siasatan isu GISBH, teliti semua kes termasuk jenayah

24 Sep 2024, 10:19 AM
MB: Sultan titah percepat siasatan isu GISBH, teliti semua kes termasuk jenayah

SHAH ALAM, 24 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan pihak berkuasa, khususnya jabatan pelaksana negeri mempercepat siasatan isu Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Dato’ Menteri Besar berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu pasukan siasatan lebih cekap meneliti semua kesalahan termasuk kes jenayah membabitkan syarikat berkenaan.

“Tuanku berpandangan pasukan siasatan kita perlu lebih cekap selepas ini untuk meneliti sebarang kesalahan, dimana sebahagiannya merupakan kes jenayah

“Kita (Kerajaan Negeri) diminta untuk percepatkan tindakan oleh jabatan berkenaan yang mana jabatan pelaksana adalah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Tetapi secara prinsipnya Jais tertakluk bawah Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Mais pula terletak bawah bidang kuasa Tuanku. Harapnya proses ini akan berjalan dengan kemas,” kata Dato' Seri Amirudin Shari kepada pemberita. Beliau ditemui pada Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.

Terdahulu, Amirudin menghadap Sultan Selangor kira-kira dua jam di Istana Bukit Kayangan di sini, sebagai rutin mingguan bagi menyembah maklum mengenai perkara dan urusan membabitkan pentadbiran negeri.

Dalam pada itu, Amirudin berharap pihak polis dapat memberikan hasil siasatan penuh kepada Kerajaan Selangor bagi meneruskan tindakan susulan terhadap GISBH bawah peruntukan undang-undang negeri.

Menurut beliau, tindakan susulan terhadap GISBH juga bergantung kepada keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang akan bersidang akhir bulan ini.

"Polis perlu beri hasil siasatan penuh kepada kami dan kami akan ambil tindakan susulan terutamanya supaya mereka tidak ada perniagaan di premis-premis.

“Tapi ia juga perlu bergantung kepada fatwa yang akan bermesyuarat pada akhir bulan ini. Kalau mereka mahu jalankan perniagaan, bukan bawah nama mana-mana syarikat berkaitan GISBH,” katanya.