SHAH ALAM, 24 SEPT: Dato’ Menteri Besar dijadual menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor hari ini berhubung perkembangan isu Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pertemuan itu rutin mingguan bersama Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi membincangkan pelbagai perkara dan urusan membabitkan pentadbiran negeri.
“Hari ini saya menghadap tetapi urusan agama Islam, secara asasnya bawah Tuanku sepenuhnya. Tuanku memanggil Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan polis beberapa hari lepas.
“Saya juga diberi makluman mengenai perkara itu. Kami sedang ambil tindakan agresif dan hari ini saya ada majlis menghadap dengan Tuanku, ia pertemuan mingguan biasa,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.
[caption id="attachment_664597" align="aligncenter" width="740"]
Pihak berkuasa menyita salah sebuah premis milik Global Ikhwan Services And Business Holding (GISBH) dalam sebuah operasi di Bandar Country Homes, Rawang pada 21 September 2024. Foto Facebook Majlis Perbandaran Selayang[/caption]
Amirudin menambah kegiatan GISBH sukar dikesan lebih awal berikutan kumpulan tersebut menukar taktikal sebagai aktiviti perniagaan, selain hanya membabitkan sanak saudara ahli terbabit.
Jelasnya, kesalahan GISBH dalam penyelewangan akidah seperti didedahkan bekas ahlinya, bakal berdepan tindakan tegas perundangan syariah Islam negeri.
“Kita diberitahu perkara ini berlaku sejak 2013. Kalau tahu lebih awal sudah tentu kita akan ambil tindakan awal. Sekarang semua pihak sudah ambil berat mengenai perkara ini,” katanya.
Sabtu lalu, Sultan Selangor menitahkan pihak berkuasa agama dan polis segera mengambil tindakan terhadap GISBH yang disyaki melakukan jenayah berat.
Baginda bertitah semua rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan GISBH yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah ditutup selain menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor untuk meneliti kegiatan kumpulan itu.
GISBH terpalit kontroversi selepas 20 premis yang dikaitkan dengan syarikat itu sebagai pusat jagaan dan rumah amal kendaliannya diserbu polis pada 10 September lalu.
Dalam serbuan terbabit, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun, selain menahan 171 individu yang mengendalikan premis yang diserbu untuk siasatan lanjut.
Semalam, polis berjaya menyelamatkan empat kanak-kanak yang juga adik beradik berusia enam hingga 11 tahun di Tapah, Perak yang terpisah dengan bapanya sejak 2021.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata mereka diselamatkan dalam Op Global fasa empat, dengan salah seorang kanak-kanak terbabit tular dirotan ahli GISBH.


