ad
AGENDA

PRK Mahkota: Polis, tentera mengundi awal hari ini

24 Sep 2024, 12:00 AM
PRK Mahkota: Polis, tentera mengundi awal hari ini

KLUANG, 24 SEPT: Sebanyak 4,911 pengundi awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Daripada jumlah itu, 4,510 adalah tentera dan pasangan manakala bakinya ialah polis.

Proses pengundian berlangsung di tiga pusat mengundi awal iaitu Dewan Mahkota yang terletak dalam Kem Mahkota, Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim.

Semua pusat mengundi dibuka mulai 8 pagi sebelum ditutup pada 5 petang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca di bandar Kluang adalah baik pada pagi ini sebelum ribut petir dijangka melanda di sebelah petang.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

DUN Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang mempunyai keseluruhan 66,318 pengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka pada Sabtu ini.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.