ad
AGENSI

Inisiatif buru ikan asing berhasil, kembalikan semula hasil nelayan darat

23 Sep 2024, 9:14 AM
Inisiatif buru ikan asing berhasil, kembalikan semula hasil nelayan darat

SHAH ALAM, 23 SEPT: Inisiatif tangkapan ikan bandar raya (pleco) di sungai sekitar Selangor mengurangkan populasi ikan asing itu, sekali gus mengembalikan semula hasil nelayan darat.

Timbalan setiausaha Pertubuhan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya berkata pihaknya menerima maklum balas positif kumpulan itu, yang menyatakan hasil tangkapan untuk dijual dan dimakan semakin baik.

Menurut Muhammad Izwan Ismail, kejayaan itu hasil berterusan dan kerjasama pelbagai agensi sejak awal tahun ini, melibatkan beberapa sungai seperti di Ampang, Damansara dan Sungai Langat.

“Contohnya di Denai Sungai Kebangsaan ada 10 hingga 15 nelayan darat yang mencari pendapatan maklumkan boleh dapat semula ikan lampam jawa, baung kuning, tilapia hitam, lampam siam dan keli.

“Jika tidak, dahulu bila memancing ikan bandar raya yang ‘sangkut’, sekarang nampak hasil. Jadi inisiatif buru ikan itu yang kerap sejak awal tahun mula tunjuk hasil positif,” katanya.

Beliau menambah insiatif memburu ikan bandar raya seperti dilaksana Selangor perlu diteruskan berikutan spesies itu mudah membiak dan mengancam populasi ikan tempatan.

Dalam pada itu, Muhammad Izwan memaklumkan sejumlah 3,734 kilogram ikan asing berjaya ditangkap sejak 1 September di Denai Sungai Kebangsaan, yang menawarkan insentif RM1 sekilogram.

Jelasnya, pihaknya turut menyasar satu tan lagi ikan invasif itu dapat ditangkap menjelang minggu terakhir program hujung minggu ini dengan kerjasama syarikat dan agensi lain.

“Hasil tangkapan masih bergantung kepada arus dan ketinggian air sungai pada hari berkenaan kerana ikan akan menyorok dalam tanah jika arus deras.

“Walaupun hasil tangkapan setakat ini jauh daripada sasaran awal 50 tan, tetapi maklum balas positif diterima nelayan darat yang berharap program itu diteruskan," katanya.