ad
AGENDA

Kes GISBH, selindung disebalik perniagaan sukarkan kegiatan dikesan awal

22 Sep 2024, 9:34 AM
Kes GISBH, selindung disebalik perniagaan sukarkan kegiatan dikesan awal

SHAH ALAM, 22 SEPT: Menggubah bentuk aktiviti ke bidang perniagaan menyebabkan kumpulan Global Ikhwan Services And Business Holding (GISBH) sukar dikesan di peringkat awal.

Dato’ Menteri Besar berkata berdasarkan maklumat, kumpulan itu juga dipercayai menyebarkan ajaran mereka kepada ahli keluarga sekali gus menyukarkan aktiviti mereka dihidu.

“Hanya apabila terdapat laporan dan siasatan polis seperti kes penderaan, baru kita dapat buka.

“Kalau dimaklumkan lebih awal, pasti kita akan bertindak lebih agresif terutama melibatkan penyelewengan akidah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada pemberita hari ini.

Beliau memohon semua pihak memberi ruang kepada polis serta agensi bertanggungjawab untuk melaksanakan siasatan terperinci seterusnya pesalah dibawa ke muka pengadilan.

“Saya harap tindakan dapat diambil oleh penguat kuasa agama dan polis supaya dapat banteras kesalahfahaman dan kerosakan yang dibina mereka selama ini,” katanya.

Semalam Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan pihak berkuasa agama dan polis segera mengambil tindakan terhadap GISBH. Baginda juga mahu semua rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan GISBH yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah ditutup.

Terdahulu polis menyelamatkan 186 mangsa menerusi Op Global fasa empat di seluruh Semenanjung Malaysia selepas menyerbu 82 premis seperti rumah amal, klinik, maaahad serta kediaman persendirian dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.

Ketika serbuan di Kelantan, polis menemui puluhan buku berkaitan doktrin diperjuangkan organisasi itu yang ditanam di tepi sungai berhampiran kediaman kumpulan itu di Kampung Panji, Kota Bahru selain ada yang dibakar dipercayai bagi menghapuskan bukti selain mengelak daripada dirampas pihak berkuasa.

Pada 11 September, polis telah menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

GISB yang sebelum ini menafikan kaitannya dengan al-Arqam menafikan dakwaan terhadap mereka dan menganggap tuduhan sedemikian bertujuan menimbulkan prasangka, fitnah dan berniat jahat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.