SHAH ALAM, 22 SEPT: Majlis Bulan Kebangsaan peringkat Petaling Jaya diraikan dengan meriah sejak dianjurkan awal Ogos hingga acara penutupnya semalam.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi kenyataan memaklumkan 23 pengisian program sepanjang bulan kebangsaan diadakan dengan kerjasama ahli majlis.
Menurutnya, program berkenaan adalah pertandingan nyanyian patriotik, kibar Jalur Gemilang, edaran Jalur Gemilang, hari bertemu pelanggan dan Walkathon Kita Malaysia.
“MBPJ berharap penganjuran acara seumpama ini dapat memupuk semangat cintakan negara dalam diri masyarakat serta membangkitkan kesedaran rakyat Malaysia dalam mencapai kesepaduan sosial,” katanya.
Semalam, turut berlangsung program penutup sambutan Bulan Kebangsaan di Taman Jaya, Petaling Jaya yang dirasmikan Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon.
Berlangsung dari jam 8 pagi hingga 11 malam, pelbagai acara menarik dianjurkan antaranya pertandingan mewarna, pertandingan jejak Merdeka @ PJ, peragaan busana kreatif Merdeka dan kem motivasi bersama datuk bandar.
Turut diadakan jualan kendera saji, saringan kesihatan percuma oleh KMI Kelana Jaya Medical Centre, PJ Eco Flea Market, pameran dan pemberian pokok herba secara percuma.
Menariknya, perkhemahan remaja Merdeka turut diadakan selama dua hari disertai 40 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun selain diserikan juga dengan persembahan deklamasi sajak pada acara penutup semalam.
[caption id="attachment_664514" align="aligncenter" width="1134"] Pemenang Pertandingan Peragaan Busana Kreatif Merdeka Kategori Kanak-kanak pada Majlis Penutup Bulan Kebangsaan 2024 di Taman Jaya, Petaling Jaya pada 21 September 2024. Foto Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)[/caption]