ad
AGENDA

Imbau perjuangan, pemandu teksi ajak penumpang sertai reformasi KEADILAN

21 Sep 2024, 3:29 AM
Imbau perjuangan, pemandu teksi ajak penumpang sertai reformasi KEADILAN
Imbau perjuangan, pemandu teksi ajak penumpang sertai reformasi KEADILAN

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Pelbagai sejarah dan memori dilalui Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sepanjang 26 tahun gerakan reformasi termasuk siri pengkhianatan bekas kepimpinannya.

Bagaimanapun, ketua penerangan KEADILAN berkata dugaan ditempuh dengan sabar malah lebih membanggakan parti itu mencapai kejayaan termasuk kemenangan Pakatan Rakyat di lima negeri pada pilihan raya umum (PRU) 2008.

“Perjalanan gerakan rakyat mengalami ledakan 1998 penuh getir dan ranjau sepanjang jalan. Pada 2004 kita tinggal satu kerusi di Pematang Pauh. Namun, selepas kita susun bentuk Pakatan Rakyat, kita bersedia menempuh PRU 2008 yang menawan lima negeri.

"Semua ini berlaku dalam keadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di penjara menunjukkan bagaimana beliau masih boleh menyatukan walaupun batang tubuhnya tidak bersama kita ketika itu.

"Itulah realitinya bagaimana Anwar sentiasa usahakan supaya kita kumpulkan kekuatan dengan semangat yang satu menuju kemenangan. Namun kemenangan jauh daripada kita, Perak dan Kedah tumbang tetapi kita tetap bersiap sedia,” kata Fahmi Fadzil.

Beliau berucap demikian sempena Himpunan Keadilan Suara Rakyat Suara Keramat di Stadium Axiata di sini malam tadi bagi menelusuri sejarah perjuangan KEADILAN pimpinan Anwar.

[caption id="attachment_664316" align="alignnone" width="866"] Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berucap ketika Himpunan Keadilan Suara Rakyat Suara Keramat di Stadium Axiata Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 September 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sementara itu, yang dipertua Gabungan Teksi Semalaysia turut mengimbas pengorbanan kumpulan itu ketika era awal perjuangan perdana menteri termasuk pernah dibelasah dan dipenjara.

Kamarudin Hussain berkata mereka melakukan pelbagai tindakan bagi menyokong perjuangan Anwar malah menjadikan penumpang sebagai sasaran untuk menggerakkan reformasi.

“Kami ambil risiko perlahankan kenderaan, teksi (di Dataran Merdeka) supaya melengahkan penguat kuasa ambil tindakan kepada Anwar. Ada juga terlibat dalam perhimpunan, kena tangkap.

“Dulu tak ada media sosial. Kami jadi radio gerakan reformasi, edarkan risalah perjuangan. Pasang kaset Anwar dan mainkan peranan kepada pelanggan supaya mereka turut dalam gerakan. Ini sebahagian perjuangan kecil kami,” katanya.

Malam tadi, beberapa pemimpin dan individu berkongsi pengalaman serta mengimbau pengorbanan mereka dalam membantu perjuangan KEADILAN.

Antaranya Naib Presidennya Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiusaha Agongnya Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan Fahmi Fadzil dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Dato’ Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.