PUTRAJAYA, 20 SEPT: Sebanyak 13 syarikat produksi muzik telah menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik (Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa) berjumlah keseluruhan RM549,000.
Kumpulan MyCreative Ventures (MyCV) memaklumkan lima syarikat telah menerima dana tersebut yang disampaikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika majlis perhimpunan Kementerian Komunikasi pagi tadi.
"Kementerian Komunikasi melalui MyCV sentiasa menyokong kebolehan dan bakat tempatan dalam mengangkat muzik tempatan ke persada antarabangsa," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut MyCV, sejumlah 58 permohonan telah diterima untuk kategori dana tersebut berdasarkan kriteria jemputan persembahan, kolaborasi, jelajah persembahan, pertandingan, memenuhi jemputan sebagai juri ataupun jurucakap di luar negara.
Antara 13 syarikat itu termasuk Ramayan Musik dengan persembahan Ramayan: Asian Tour 2024 (Jepun dan Taiwan) dan Pusat Budaya Pusaka Sdn Bhd dengan persembahan Main Puteri di Festival De L’imaginaire, Paris.
- BERNAMA








