ad
AGENDA

Wanita nyaris maut bongkah konkrit hempap kereta

20 Sep 2024, 6:12 AM
Wanita nyaris maut bongkah konkrit hempap kereta

SEREMBAN, 20 SEPT: Seorang wanita nyaris maut apabila kereta dipandunya terbakar selepas sebuah bongkah konkrit yang dibawa treler jatuh dan menghempap keretanya di Jalan Mambau, Seremban 2 di sini pagi tadi.

Komander Operasi Kanan Ahmad Khomeini Kamarudzaman berkata sepasukan bomba tiba di tempat kejadian kira-kira 7.30 pagi tadi dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga FLX musnah sepenuhnya akibat kejadian itu.

Beliau berkata pemandu wanita berusia 31 tahun itu mengalami cedera ringan selepas diselamatkan oleh pemandu lori berkenaan yang berhenti sebaik mendapati muatan dibawanya jatuh.

"Kemalangan melibatkan sebuah lori treler yang membawa bongkah longkang konkrit dan semasa sampai ke tempat kejadian bongkah batu itu jatuh lalu terkena dua kereta dan satu daripadanya musnah terbakar 100 peratus.

"Sebuah kereta lagi jenis Perodua Axia hanya mengalami kerosakan di bahagian tepi dan pemandu kereta wanita berusia 30 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu treler lelaki berusia 68 itu turut tidak mengalami sebarang kecederaan.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.