AGENDA

PM: Pendekatan inklusif, berhikmah tangani isu berkaitan Islam

19 Sep 2024, 11:54 AM
PM: Pendekatan inklusif, berhikmah tangani isu berkaitan Islam

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Kerajaan Perpaduan mengutamakan pendekatan yang lebih inklusif dan berhikmah dalam mencari jalan terbaik terhadap sebarang isu berkaitan agama Islam di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan pimpinannya juga terus komited dalam mengemukakan mesej Islam yang rahmah serta berorientasi keadilan dan ihsan seiring semangat Malaysia Madani.

"Saya percaya melalui muafakat dan perbincangan yang tuntas, kita boleh mencari banyak kesepakatan dalam menambah baik dan menguruskan urusan hal ehwal Islam di Malaysia," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Menerusi hantaran sama, Perdana Menteri turut berkongsi mengenai sesi pertemuan dan musyawarah beliau bersama para agamawan di Putrajaya bagi bertukar pandangan mengenai pembangunan hal ehwal Islam serta isu semasa yang berkaitan di Malaysia.

Hadir dalam perbincangan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Datuk Dr Nooh Gadot, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah dan Mufti Perak Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.

Turut hadir Mufti Sabah Datuk Bungsu@Aziz Jaafar, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Mufti Pahang Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.