ad
BERITA UTAMA

Pengusaha industri cemar sumber air berdepan tindakan tegas

19 Sep 2024, 8:03 AM
Pengusaha industri cemar sumber air berdepan tindakan tegas
Pengusaha industri cemar sumber air berdepan tindakan tegas

SHAH ALAM, 19 SEPT: Pengusaha industri yang melakukan kesalahan mencemar sumber air berdepan tindakan tegas menerusi Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) yang diwartakan Kerajaan Selangor pada 20 Jun lalu.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata ketika ini Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memperuntuk tempoh enam bulan bagi sesi libat urus dengan semua pihak agar pelaksanaannya berjalan lancar.

“Pada tahun ini, kita hanya akan beri pendedahan dan penerangan sebanyak mungkin kepada semua pemain industri supaya dasar ini diterima dengan baik.

“Bermula tahun depan, kita akan lakukan pelaksanaan dengan notis pemakluman akan dihantar kepada pihak berkaitan, terutamanya kepada pengusaha yang belum membuat permohonan lesen,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan program sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi pelaksanaan ZDP di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Program yang disertai kira-kira 100 pemegang taruh turut dihadiri Pengarah LUAS Ts Hasrolnizam Shaari dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Nor Aziah Jaafar.

[caption id="attachment_664043" align="alignnone" width="875"] EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin bersama peserta program sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi Pelaksanaan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) di negeri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 19 September 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Jamaliah menambah, sebanyak 215 premis industri memohon Lesen Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan dan Pencemar bagi pelaksanaan ZDP berbanding lebih 30,000 premis industri berlesen yang ada di negeri ini.

Jelas beliau, jumlah tersebut masih belum memadai dan Kerajaan Negeri menyasar sekurang-kurangnya 3,000 premis berdaftar menjelang akhir tahun ini.

“Jika mereka masih membuat pelepasan tanpa lesen, mereka akan dikenakan dengan tindakan berdasarkan Seksyen 44(1)(b) Enakmen LUAS 1999 termasuk denda maksimum RM50,000 dan penjara dua tahun,” katanya.

ZDP merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuh kualiti pengurusan sumber air dengan menggalakkan pengusaha atau operator kilang supaya tidak mengeluarkan efluen dan melaksanakan usaha pengurusan sisa.

Sebanyak 13 aktiviti di persekitaran sumber air dan lembangan sungai ditetapkan dalam ZDP termasuk akuakultur air tawar, air payau dan air masin, pembangunan atau kerja tanah, perladangan unggas dan penternakan ruminan.

Selain itu haiwan peliharaan, pencucian bahan batuan, perlombongan pasir biasa, rumah sembelihan, perindustrian, aktiviti rekreasi, sistem pengolahan kumbahan, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan bekalan air.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.