AGENDA

Mais arah hasil kajian GISBH dibentang ke jawatankuasa fatwa

17 Sep 2024, 9:06 AM
Mais arah hasil kajian GISBH dibentang ke jawatankuasa fatwa

SHAH ALAM, 17 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengarahkan semua hasil kajian dan perbincangan berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dibentang kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ia bagi merungkai segera persoalan berhubung penglibatan GISBH dan semua rangkaiannya dalam penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada Islam.

"Mais telah mulakan kajian berhubung penglibatan GISBH dan rangkaiannya dalam penyebaran dan amalan ajaran menyeleweng daripada agama Islam sejak 2020.

"Malah, perkara ini juga turut dibincang secara serius dalam beberapa siri perbincangan dan mesyuarat di peringkat jawatankuasa Mais sebelum berita berhubung kes ini tular baru-baru ini," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berdasarkan hasil kajian itu, Abdul Aziz berkata penglibatan GISBH dalam ajaran Kumpulan Al-Arqam dan rangkaiannya telah diharamkan menurut fatwa yang diwartakan di Selangor pada 4 Februari 1993, 11 Ogos 1994 dan 21 Disember 2006.

"Tindakan ini dibuat selaras dengan seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

"Mais menyatakan komitmen yang jitu untuk membanteras isu akidah termasuk penyebaran ajaran menyeleweng daripada agama Islam agar ia tidak terus berleluasa di negeri ini," katanya.

Abdul Aziz menegaskan Mais dan semua agensi hal ehwal Islam di Selangor sama sekali tidak berkompromi dengan GISBH atau rangkaiannya atau mana-mana pihak yang terlibat dengan kesalahan akidah.

"Gerakan bersepadu antara semua agensi berkaitan akan diperhebat untuk memastikan tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan jenayah tersebut," katanya.

GISBH terpalit kontroversi selepas 20 premis membabitkan pusat jagaan dan rumah amal kendaliannya diserbu polis pada 11 September lalu.

Dalam serbuan terbabit, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun, selain menahan 171 individu yang mengendalikan premis untuk siasatan lanjut.