ad
AGENDA

Polis tahan lelaki tanam 143 pokok ganja, benih dibeli secara dalam talian

15 Sep 2024, 12:00 PM
Polis tahan lelaki tanam 143 pokok ganja, benih dibeli secara dalam talian

KUCHING, 15 SEPT: Polis menahan dua lelaki disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah dan merampas kira-kira 1.7 kilogram ganja serta 143 pokok ganja dianggarkan bernilai RM3.6 juta di sebuah rumah di Jalan Piasau, Miri, Jumaat lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata kedua-duanya yang berusia 41 dan 61 tahun menanam benih pokok ganja di kawasan sebuah kediaman secara sulit, dengan benih berkenaan dipercayai dibeli secara dalam talian yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier.

“Sepeket benih ganja dibeli dianggarkan bernilai US$100.

“Ganja yang dihasilkan kemudian dijual di sekitar Miri pada harga RM100 untuk 100 gram,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri hari ini.

Beliau berkata keseluruhan dadah dirampas boleh digunakan sebanyak 32,084 penagih sekitar Miri.

Turut disita katanya, sebuah kereta bernilai RM20,000 dan sebuah motosikal bernilai RM4,500.

Mancha berkata kedua-duanya yang positif terhadap dadah jenis Tetra Hydro Canabinol (THC) kini direman seminggu hingga 21 Sept ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6B dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.