ad
AGENSI

Lebih 340 kilogram ikan bandar raya ditangkap, faktor air deras jejas pemburuan

14 Sep 2024, 6:15 AM
Lebih 340 kilogram ikan bandar raya ditangkap, faktor air deras jejas pemburuan
Lebih 340 kilogram ikan bandar raya ditangkap, faktor air deras jejas pemburuan
Lebih 340 kilogram ikan bandar raya ditangkap, faktor air deras jejas pemburuan

HULU LANGAT, 14 SEPT: Sejumlah 344 kilogram ikan bandar raya (pleco) ditangkap menerusi program di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat hari ini.

Timbalan Setiausaha Pertubuhan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya berkata program yang menawarkan insentif RM1 bagi setiap kg tangkapan ikan asing itu disertai 21 peserta.

“Air sungai agak deras dan tinggi hari ini kerana hujan semalam. Jadi ia mempengaruhi hasil tangkapan kerana ikan akan menyorok dalam tanah jika air deras,” kata Muhammad Izwan Ismail ketika ditemui.

[caption id="attachment_663249" align="alignleft" width="428"] Timbalan Setiausaha Pertubuhan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya Muhammad Izwan Ismail. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/MEDIA SELANGOR[/caption]

Beliau turut mempelawa orang ramai terus menyokong program itu yang berlangsung setiap hujung minggu hingga 29 September ini bagi menjayakan inisiatif memulihara sungai dan ekosistem spesies tempatan.

“Kita jangka 28 September ini akan lebih meriah kerana ada sambutan Hari Air Sedunia di sini dan akan dimeriahkan dengan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

“Pelbagai acara akan diadakan seperti pelepasan 2,000 benih ikan lampam sungai, aktiviti mengutip sampah sekitar denai Sungai Langat, aktiviti mewarna serta jualan ikan air tawar daripada penternak sekitar,” katanya.

Bermula 1 September, Kerajaan Negeri memperuntuk RM50,000 bagi menganjurkan program tersebut dengan sasaran 50 tan tangkapan menjelang akhir bulan ini.

Tawaran insentif RM1 bagi setiap kilogram tangkapan ikan banda raya di Denai Sungai Kebangsaan sepanjang bulan ini melibatkan tarikh 1, 7, 8, 14, 15, 21, 22, 28 dan 29 mulai 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Pada 10 September EXCO Pertanian Ir Izham Hashim dilaporkan berkata sebanyak 1.72 tan ikan bandar raya ditangkap sepanjang 1, 7 dan 8 September.

Menurut Izham semua hasil tangkapan dibawa ke pusat memproses khas untuk dilupus dan dijadikan makanan haiwan serta baja organik menggunakan Teknologi Bio-Nano Yanisys.

[caption id="attachment_663252" align="aligncenter" width="702"] Ikan Pleco yang ditangkap di sekitar tebing Sungai Langat sempena Program Inisiatif Pemburu Ikan Pleco di Denai Sungai Kebangsaan Sungai Langat, Bangi pada 1 SEPTEMBER 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.