SHAH ALAM, 13 SEPT: Enam buku terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor antara 10 karya terjemahan paling laris sepanjang minggu lalu.
Menurut syarikat penerbitan itu, naskhah berkenaan termasuklah Buku Tanpa Ampun: Tiga Tahun Diburu Jepun di Rimba Malaya, Muslihat Mahathir: Mengharung Zaman Gelora dan Memelihara Jiwa: Petua daripada Tabib Kurun ke-9.
Turut mendapat permintaan ramai adalah Gelagat dan Ragam Orang Melayu, Mata-Mata Gelap Malaya: Peranan Cawangan Khas pada Zaman Darurat 1945–60 dan 'Umar Al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang.
"Memelihara Jiwa: Petua daripada Tabib Kurun ke-9 baru sahaja ditambah stok minggu lalu menjadi rebutan ramai.
"Topik kesihatan mental yang dikaji oleh cendekiawan kurun ke-9, Abu Zayd al-Balkhi, malar segar ke hari ini," menurut syarikat penerbitan itu di Facebook.
Sementara itu, Naskhah riwayat Rasulullah berjudul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal karya Martin Lings yang dihasilkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) kekal sebagai buku terlaris.
"Sempena Rabi'ul Awal dan Maulidur Rasul yang bakal tiba, setiap pembelian buku Muhammad akan mendapat poster Khutbah Terakhir dan risalah Doa-doa Nabi Muhammad SAW secara percuma.
"Dapatkan tawaran khas ini sehingga 16 September 2024," katanya.
IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.
Karya terbitan IBDE boleh didapati melalui kedai buku Rencana di Sri Damansara, Petaling Jaya atau secara atas talian menerusi pautan bukuibde.com