ad
BERITA UTAMA

Masjid Jamek Cina Muslim Klang terap seni bina lebih 1,000 tahun

13 Sep 2024, 3:53 AM
Masjid Jamek Cina Muslim Klang terap seni bina lebih 1,000 tahun
Masjid Jamek Cina Muslim Klang terap seni bina lebih 1,000 tahun
Masjid Jamek Cina Muslim Klang terap seni bina lebih 1,000 tahun
Masjid Jamek Cina Muslim Klang terap seni bina lebih 1,000 tahun
Masjid Jamek Cina Muslim Klang terap seni bina lebih 1,000 tahun
Masjid Jamek Cina Muslim Klang terap seni bina lebih 1,000 tahun

Sarat elemen tradisi Cina, Masjid Jamek Cina Muslim Klang di Bandar Botanik, dibina mengambil inspirasi Masjid Besar Xi’an di wilayah Shaanxi, China.

Dibina atas tanah Jabatan Agama Islam Selangor seluas 2.98 ekar, masjid tanpa kubah itu menerapkan ruang dan seni bina Masjid Besar Xi’an berusia 1,282 tahun - antara masjid tertua dan terbesar di China.

Masjid Besar Xi’an dibina pada 742 ketika pemerintahan Dinasti Tang. Struktur masjid itu mengalami pembaharuan dalam beberapa dinasti dan reka bentuk sekarang dibina pada 1384 semasa pemerintahan Dinasti Ming.

Islam tersebar di China melalui pedagang Arab, Parsi dan Afghanistan. Mereka berkahwin dengan masyarakat tempatan berketurunan Han di sana, lalu membentuk masyarakat muslim yang mengekalkan jati diri Cina.

Binaan Masjid Besar Xi’an seluas 12,000 kaki persegi ada empat bahagian menggabungkan seni bina klasik Cina dan kesenian Islam yang terjaga rapi sehingga kini.

[caption id="attachment_663021" align="aligncenter" width="724"] Dewan solat Masjid Besar Xi’an di China[/caption]

Keindahan dan ciri unik Masjid Besar Xi’an itu menarik minat ketua agama Islam negeri Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menitahkan pembinaan mengambil ilham rekaan masjid besar itu.

Arkitek Muhammad Ridha Lua mendedahkan, Baginda mengarahkan pihaknya ke Xi’an untuk mengkaji masjid besar itu selepas tidak berkenan dengan reka bentuk awal dipersembah pada 28 November 2018.

“Baginda nasihat pergi ke Xi’an buat kajian kes, supaya dapat menjiwai nilai seni bina masjid di China,” katanya kepada Selangorkini pada 23 Ogos.

Delegasi negeri termasuk arkitek melawat Masjid Besar Xi’an dan beberapa masjid lain China antara 12 hingga 17 Mac 2019 sebelum membentangkan cadangan baharu kepada DYMM Sultan Selangor pada 7 Mei tahun sama.

“Pada sesi ini, cadangan reka bentuk diperkenankan dan projek dapat diteruskan Alhamdulillah. Baginda juga menasihatkan agar landskap masjid konsisten dengan tema seni bina tradisional Cina,” katanya.

[caption id="attachment_660051" align="aligncenter" width="809"] Suasana Masjid Jamek Cina Muslim Klang ketika tinjauan semasa solat Maghrib pertama selepas pembukaannya pada 22 Ogos 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Baginda juga berkenan memberi nama Masjid Jamek Cina Muslim Klang ketika sesi itu.

Terdapat beberapa persamaan seni bina dan ruang antara masjid Cina di Klang dengan Masjid Besar Xi’an, antaranya kedudukan pintu masuk utama ke ruang lapang berhadapan dewan solat utama.

Reka bentuk susur tangan daripada bahan granit semula jadi di masjid jamek itu juga hampir sama dengan masjid Xi’an. Malah perabot juga mengambil rekaan tradisional Cina di sana.

1,000 jemaah

Masjid itu boleh menampung 1,000 jemaah dengan ruang solat utamanya memuatkan 450 orang. Pembinaan ruang ini banyak menggunakan unsur kayu antaranya mimbar dan dinding. Tiang-tiang besar sepemeluk turut diletakkan gegantung kayu ditulis -nama-nama Allah dalam bahasa Arab.

Mihrab pula dihiasai tasbih, tahmid, tahlil dan takbir tulisan kaligrafi Cina. Beberapa potong ayat al-Quran beserta terjemahan dalam bahasa Melayu dan Arab diletak pada dinding yang mengelilingi dewan solat itu.

[caption id="attachment_660050" align="aligncenter" width="760"] Suasana Masjid Jamek Cina Muslim Klang ketika tinjauan semasa solat Maghrib pertama selepas pembukaannya pada 22 Ogos 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Turut diletakkan teks khutbah terakhir Rasulullah SAW dalam bahasa Melayu, Cina, Inggeris dan Arab, pada tembok masjid bertentangan pintu masuk utama.

Atap masjid dipasang jubin bumbung diimport dari China. Jubin bumbung pintu gerbang dan tembok nama masjid turut menggunakan elemen tradisional reka bentuk bumbung Cina.

Memasuki masjid jamek itu, tersergam menara dikenali Menara Cahaya Bulan setinggi 18 meter. Atapnya berbentuk ‘hip roof’, tidak sama dengan menara Masjid Besar Xi’an berbentuk pagoda.

Ujar Muhammad Ridha, seni bina masjid jamek itu tidak sepenuhnya mengikut reka bentuk Masjid Besar Xi’an kerana perlu disesuaikan mengikut cuaca, undang-undang kecil di Malaysia serta peruntukan projek.

Menelan kos pembinaan RM19.3 juta, masjid dilengkapi kemudahan seperti bilik kuliah, bilik mandi jenazah, bilik mesyuarat, pejabat pengurusan, bilik imam, bilal dan sukarelawan, perpustakaan, kedai cenderamata serta ruang makan komuniti.

[caption id="attachment_660045" align="aligncenter" width="758"] Pengunjung berjalan menuju ke arah Masjid Jamek Cina Muslim Klang pada 22 Ogos 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Kemudahan untuk wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya juga ada dengan semua ruang bagi golongan berkenaan dibina berdekatan.

Siap dibina pada 11 Julai, masjid beroperasi secara rasmi pada solat Maghrib 22 Ogos lalu manakala solat Jumaat pertama dilaksanakan pada hari berikutnya.

[caption id="attachment_660046" align="aligncenter" width="813"] Suasana Masjid Jamek Cina Muslim Klang ketika tinjauan semasa solat Maghrib pertama selepas pembukaannya pada 22 Ogos 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.