AGENDA

Jais teliti 19 rakaman tular, siasat kegiatan GISBH

12 Sep 2024, 8:16 AM
Jais teliti 19 rakaman tular, siasat kegiatan GISBH

SHAH ALAM, 12 SEPT: Sebanyak 19 rakaman yang dimuat naik ke media sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) diteliti bagi mengukuhkan siasatan membabitkan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad, pihaknya juga akan merakam keterangan beberapa individu dan pihak lain bagi melengkapkan siasatan.

Katanya, semua barang rampasan dalam serbuan 18 premis semalam akan diserah kepada Jais untuk siasatan bawah Seksyen 7, 12 dan 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berdasarkan perbincangan dengan polis.

"Jais terus peka dengan apa jua fakta-fakta yang membawa kepada penyimpangan daripada ajaran Islam sebenar yang berlaku di negeri Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semakan awal mendapati rakaman yang tular tersebut memaparkan pelbagai pendedahan terhadap kegiatan GISBH yang didakwa melanggar undang-undang dan dilihat bertentangan ajaran Islam sebenar.

Semalam, polis menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama melalui Op Global.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata terdiri 66 lelaki dan 105 wanita iaitu penjaga, ustaz dan pengerusi rumah amal, semuanya berusia lingkungan 17 hingga 64 tahun.

Menurut beliau, 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berusia antara setahun hingga 17 tahun diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

GISBH yang sebelum ini menafikan kaitannya dengan al-Arqam menafikan dakwaan terhadap mereka dan menganggap tuduhan sedemikian bertujuan menimbulkan prasangka, fitnah dan berniat jahat.

Mohd Shahzihan juga menegaskan kegiatan ahli GISBH sentiasa dipantau rapat oleh jabatan itu berikutan wujud kaitan antara syarikat tersebut dengan kumpulan al-Arqam dan Rufaqa'.

"Istitabah (mohon taubat) yang diuruskan Jais pada 8 November 2013 tidak pernah membatalkan fatwa tentang kepercayaan dan amalan melibatkan kumpulan al-Arqam dan Rufaqa'," katanya.

Bulan lalu, EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata Jais giat memantau beberapa kumpulan ajaran sesat yang dikesan bergerak aktif di Selangor dan mereka berdepan tindakan tegas.