SHAH ALAM, 12 SEPT: Kelas robotik, asas kecerdasan buatan (AI), menjahit dan kraf tangan antara program menarik sempena Mini Karnival Cuti Sekolah di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini.
Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata kesemua aktiviti ditawarkan secara percuma sepanjang karnival yang dijadual berlangsung mulai 14 hingga 22 September.
“Hanya beberapa permainan sahaja memerlukan bayaran serendah RM2 seperti cabaran padanan air, teka bendera dan kelas memasak.
“Mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang PPAS untuk semakan jadual aktiviti dan pendaftaran penyertaan boleh dibuat di kaunter program di Perpustakaan Raja Tun Uda nanti,” katanya menerusi Facebook.
Antara aktiviti lain yang turut dianjurkan termasuklah kelas asas memasak, membuat origami, asas videografi, bermain Playstation 5 dan cabaran kiub rubik.