GOMBAK, 9 SEPT: Minyak dan beras jenama Ehsan antara produk pilihan utama penduduk sepanjang penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER) sejak September 2022.
Ketua pegawai eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata sebanyak 288,000 botol lima kilogram (kg) minyak masak dan lebih sejuta kampit beras terjual dalam tempoh itu.
Menurut Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, sambutan memberangsangkan itu mendorong pembukaan Pasar Raya Ehsan Mart pertama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, semalam.
“Pembukaan Pasar Raya Ehsan Mart ini diharapkan dapat memperkasakan lagi program JER dengan menyediakan platform jualan statik yang mudah diakses oleh masyarakat setempat.
“Kami berhasrat untuk membuka sekurang-kurangnya Pasar Raya Ehsan Mart di setiap DUN. Ini bermakna, menjelang akhir tahun 2026, akan terdapat sekurang-kurangnya 56 pasar raya di seluruh negeri,” katanya.
[caption id="attachment_662387" align="alignnone" width="893"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Pertanian, Ir Izham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi memotong reben perasmian trak pasar raya pertama Ehsan Mart di Dataran Selayang, Batu Caves pada 8 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi isteri, Datin Seri Masdiana Muhammad menyempurnakan majlis perasmian Pasar Raya Ehsan Mart di Dataran Selayang, di sini.
Program yang dianjur bersama Kenduri Ehsan Rakyat itu turut dihadiri EXCO Pertanian Ir Izham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) Saipolyazan M Yusop.
[caption id="attachment_662428" align="alignleft" width="347"] Che Siah Saad[/caption]
Sementara itu, suri rumah, Che Siah Saad, 62, meluahkan rasa syukur dan lega kerana tidak perlu lagi menantikan jadual kehadiran trak program JER ke tempatnya.
“Lega sebab tidak perlu lagi tunggu trak JER lepas ini dan tidak perlu lagi berebut untuk dapatkan nombor atau beratur panjang sejak awal pagi.
“Hanya datang ke kedai dan beli barang keperluan. Terima kasih Kerajaan Negeri kerana sediakan kemudahan ini terutamanya kepada golongan warga emas seperti saya,” katanya.
[caption id="attachment_662429" align="alignright" width="345"] A Lecthumy[/caption]
Pesara, A Lecthumy, 61, berharap lebih banyak barangan keperluan dijual di Pasar Raya Ehsan Mart, setanding pasar raya terkemuka lain.
“Saya dan suami gembira apabila tahu ada Pasar Raya Ehsan Mart tetapi saya harap ada lebih banyak pilihan barangan. Bantu keluarga kurang berkemampuan seperti saya berjimat,” katanya
Pasar raya kendalian PKPS Ehsan Agrotech Sdn Bhd (PEASB) menawarkan jualan barangan asas pada harga 10 peratus hingga 15 peratus lebih rendah berbanding pasaran.