SHAH ALAM, 7 SEPT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan aplikasi yang menawarkan mata ganjaran kepada pelanggan yang melakukan transaksi pembelian produk serta perkhidmatannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dato' Mahmud Abbas berkata aplikasi PKNS Loyalty+ itu sebagai menghargai pelanggan setia selain menjadi platform menarik pelanggan baharu.
“Melalui aplikasi, pelanggan boleh mengumpul mata ganjaran setiap kali membuat pembelian rumah, lot kedai atau membeli di Selcare, Bazar Lokal di SACC Mall selain ketika menyertai majlis awam PKNS
“Pelbagai ganjaran menarik menanti dan ini merupakan cara kami mengucapkan terima kasih atas kesetiaan pelanggan sepanjang perjalanan ini,” kata Dato’ Mahmud menerusi kenyataan.
Terdahulu beliau melancarkan aplikasi berkenaan sempena Festival SA Sentral di Galeria Sentral Seksyen 14, di sini, hari ini.
Pengguna boleh memuat turun aplikasi tersebut menerusi Apple Store, Google Play Store serta Huawei Gallery.
“Menariknya 1,300 pengunjung terawal yang memuat turun aplikasi ini akan berpeluang menerima e-voucher berjumlah RM10 dan boleh digunakan semasa festival ini.
“Selain itu, pembeli rumah projek PKNS sejak 2020 sehingga kini akan didaftarkan secara automatik. Untuk mendapatkan keahlian, anda perlu mengajak dua orang lain untuk sama-sama menjadi ahli,” katanya.


