ad
AGENSI

U-PLATS Expand bantu usahawan pasar produk peringkat antarabangsa

7 Sep 2024, 5:42 AM
U-PLATS Expand bantu usahawan pasar produk peringkat antarabangsa

SHAH ALAM, 7 SEPT: Program latihan usahawan Platform Selangor (U-PLATS) Expand membantu peserta Platform Selangor (PLATS)  yang berpontensi memasarkan produk ke peringkat antarabangsa.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata peserta akan diberi bimbingan dalam meluaskan perniagaan.

“PLATS akan kerjasama dengan agensi lain yang berkaitan untuk membantu peniaga kita eksport produk mereka ke luar negara.

“Kami akan ke Jepun sempena Malaysian Fest Tokyo pada Oktober depan dan membawa produk-produk mereka untuk mengintai peluang menembusi pasaran di sana,” katanya kepada Media Selangor.

Menyentuh mengenai inisiatif U-PLATS Halal, Ahmad Azri menjelaskan inisiatif dengan kerjasama Halal International School (HIS) akan membimbing peniaga mempelajari kaedah pematuhan halal.

“Selain itu membantu mereka dapatkan pensijilan halal, ia untuk memberi keyakinan kepada orang ramai terutamanya beragama Islam untuk membeli dengan mereka.

“Kita juga fokus pembangunan usahawan melalui U-PLATS Digital dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY). Program bertujuan memperkasa peniaga dengan kemahiran dan pengetahuan ekonomi digital,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Azri memaklumkan program U-PLATS siri kedua akan datang menyediakan Peranti Sistem Titik Jualan (POS) secara percuma buat peserta bagi tempoh 12 bulan untuk membantu dalam transaksi perniagaan.

“Untuk siri kedua ini juga akan ada booth camp dalam kalangan peserta untuk sesi suai kenal bagi memberi ruang bertukar idea dan pendapat mengenai perniagaan.

“Setiap peniaga perlu ada ‘networking’, ia akan memberi motivasi untuk cekal dan kental dalam perniagaan yang semakin mencabar hari ini,” ujarnya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.