SHAH ALAM, 6 SEPT: Genap 20 tahun sebagai wakil rakyat Sekinchan tahun ini, Dato’ Ng Suee Lim kini mampu mendabik dada melihat pembangunan kawasan berkenaan.
Beliau berkata Sekinchan melalui banyak transformasi bermula sebagai kawasan kampung dengan sumber utama pertanian, kini menjadi lokasi tarikan agropelancongan terkenal di Selangor.
“Dulu ramai yang tidak kenal Sekinchan. Sekinchan hanya kawasan luar bandar biasa. Kita bangunkan Sekinchan menjadi kawasan tarikan pelancongan dengan pemandangan sawah padi yang memukau.
“Sebelum ini orang muda tiada peluang pekerjaan di Sekinchan, tetapi sekarang ramai orang muda sudah kembali ke Sekinchan dan buka kafe, restoran serta pelbagai lagi tempat menarik,” katanya kepada Selangorkini.
[caption id="attachment_662000" align="alignnone" width="832"] Temu bual Media Selangor bersama EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 4 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Suee Lim, 54, berkhidmat sebagai wakil rakyat Sekinchan selama lima penggal sejak 2004 dan merupakan antara Ahli Dewan Negeri (ADN) paling lama di Selangor.
Mengulas lanjut, Suee Lim berhasrat membina hotel bertaraf empat bintang di Sekinchan bagi menampung permintaan pelancong tempatan dan antarabangsa yang kian bertambah.
Tambahnya, Sekinchan dijangka menerima pertambahan lebih sekali ganda jumlah pelancong apabila Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) siap sepenuhnya penghujung 2025.
“Kita harap menjelang 2030, Sekinchan sudah ada sebuah hotel empat bintang. Tetapi kita perlukan lakukan dengan hati-hati supaya keindahan Sekinchan tidak terganggu,” katanya.
WCE bagi jajaran Selangor dan Perak yang dijangka siap sepenuhnya pada 2025 sejauh 316 kilometer dibina di sepanjang pesisiran pantai barat Semenanjung bagi memudahkan penduduk setempat dan pengguna lebuh raya ke utara.