Oleh Aida Nayan
SHAH ALAM, 6 SEPT: Nama Masjid Jamek Cina Muslim Klang diilhamkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, kata arkiteknya AR Muhammad Ridha Lua.
Bercakap dalam program Hai Selangor pagi tadi, beliau menjelaskan Baginda prihatin pada butiran pembinaan masjid di Bandar Botanik itu dan berkenan supaya ia dizahirkan sebaiknya.
Katanya, Baginda turut menitahkan kajian lebih mendalam supaya perancangan dan reka bentuk yang dihasilkan mencerminkan tradisi Cina, termasuk perincian taman dan landskap.
[caption id="attachment_661978" align="aligncenter" width="697"] Sebahagian reka bentuk Masjid Jamek Cina Muslim Klang ketika tinjauan pada 22 Ogos 2024. Foto Harun Tajudin | Media Selangor[/caption]
"Tuanku turut menasihatkan supaya lawatan ke masjid-masjid lama di China khususnya masjid besar di Xi'an dijalankan supaya lebih menghayati.
"Pada masa sama, tuanku turut memberi nama projek ini Masjid Jamek Cina Muslim Klang," katanya.
Pembinaan masjid itu dirancang Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) sejak 20 Disember 2017.
Masjid cina pertama di Selangor itu dibina mengikut seni bina Masjid Besar di X'ian, menggabungkan warna semula jadi untuk hiasan dalaman dan luaran, selain dibina secara memanjang.
[caption id="attachment_661977" align="aligncenter" width="815"] Pengunjung menunaikan solat maghrib di Masjid Jamek Cina Muslim Klang pada 22 Ogos 2024. Foto Harun Tajudin | Media Selangor[/caption]
Pengurus masjid berkenaan Ahmad Mujahid Muhamad Zan berkata institusi itu bukan berfungsi sebagai pusat ibadat semata-mata, sebaliknya menjadi tumpuan pengunjung untuk melihat seni bina.
Katanya, masjid itu banyak dikunjungi pengantin baharu untuk bergambar dan pelancong dari luar negara yang dibantu petugas untuk membawa mereka melihat persekitaran.
"Program lain yang akan dijalankan ialah kuliah agama termasuk kuliah subuh pada Sabtu dan Ahad, gotong-royong dan hari terbuka pada 29 September," jelasnya.
Masjid berkeluasan 2.98 ekar setinggi empat tingkat dilengkapi perpustakaan, bilik kuliah dan persalinan, kedai cenderamata dan restoran, selain bilik khas untuk ibu dan kanak-kanak.
Tarikan lain antaranya pengunjung dapat menyaksikan ukiran khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW dalam empat bahasa dalam ruang masjid berkenaan.
[caption id="attachment_661982" align="aligncenter" width="677"] Pengunjung melihat reka bentuk Masjid Jamek Cina Muslim Klang ketika menunggu masuk waktu solat maghrib pada 22 Ogos 2024. Foto Harun Tajudin | Media Selangor[/caption]