SHAH ALAM, 6 SEPT: Pelbagai kejayaan dicapai dalam setahun pentadbiran Kerajaan Negeri. Selain melunaskan janji pilihan raya, pentadbiran diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membawa pembangunan negeri ke tahap baharu.
Kebajikan rakyat terus diberi keutamaan, khususnya golongan rentan. Dibarisan EXCO berpengalaman dan muka baharu, Kerajaan Negeri melaksanakan peranannya untuk warga Selangor.
Selangorkini memuatkan reaksi 10 EXCO negeri berhubung pencapaian, hala tuju, cabaran dan gerak kerja portfolio masing-masing dalam tempoh setahun pentadbiran Kerajaan Selangor.

Portfolio ini memberikan saya perspektif berbeza dalam agenda pembangunan ekonomi dan kelestarian kehidupan rakyat di Selangor.
Sektor semikonduktor dan aeroangkasa antara keutamaan dengan hasrat menyediakan peluang kerja bergaji tinggi dan bernilai tinggi khususnya untuk warga Selangor.
Ng Sze Han - EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti

Pencapaian satu tahun ini memberangsangkan dengan Rancangan Selangor Pertama sebagai panduan. Kita telah bentangkan laporan separuh penggal pencapaian dengan penambahan program baharu.
Dalam tempoh setahun ini memang begitu pesat kemajuan infrastruktur dan pertanian kerana kebanyakan dirangka penggal lepas dan penggal ini peringkat pelaksanaan.
Ir Izham Hashim - EXCO Infrastruktur dan Pertanian

Ini penggal kedua buat saya. Dahulu sebagai exco pembangunan luar bandar, kampung tradisi dan adat istiadat Melayu dan penggal ini perumahan dan kebudayaan.
Alhamdullilah, dasar perumahan kita teruskan dengan dasar Rumah Selangorku 2.0 kepada 3.0. Projek pembangunan perumahan mensasarkan 200,000 unit hingga akhir penggal ini berjalan baik.
Datuk Borhan Aman Shah - EXCO Perumahan dan Kebudayaan

Setahun ini banyak cabaran kita harungi tetapi saya berjaya bentangkan bawah portfolio Kerajaan Tempatan, membawa idea Dato' Menteri Besar untuk gerakkan Lembah Klang Raya.
Empat PBT bandar raya besar ini dapat diselaraskan jadi satu wilayah untuk kita memperkasa ekonomi, pembangunan mampan ke arah 2030, 2035 demi Selangor yang lebih maju.
Dato’ Ng Suee Lim - EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan

Saya kembali dalam ahli majlis mesyuarat Kerajaan Negeri memang cukup mencabar kerana pasti ada dasar-dasar era pentadbiran Barisan Nasional dan sekarang berbeza. Kita banyak adakan program sambutan kemerdekaan, hari perpaduan.
Selain itu, lantikan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) pun saya minta kerjasama semua pertubuhan di kampung untuk perancangan di kampung disusun baik.
Datuk Rizam Ismail - EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna

Dalam kesihatan awam, kita boleh mainkan peranan dengan melebihkan pencegahan sebelum menghala kepada rawatan. Bagi alam sekitar, masih banyak perlu belajar tentang penjagaan alam sekitar, perubahan iklim dan sebagainya.
Saya dan pasukan akan melakukan yang terbaik hingga penggal akan datang. Semuga mencapai KPI (Aras Petunjuk Prestasi) yang kita sasarkan.
Jamaliah Jamaluddin - EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar

Untuk portfolio belia, sukan, dan keusahawanan ini banyak juga yang masih boleh dicapai. Kita akan kembalikan semula Selangor sebagai negeri dihormati dalam pembangunan dan penganjuran sukan.
Untuk pembangunan belia, pastinya kita akan melaksanakan lebih banyak program pemberdayaan belia. Bagi usahawan, kita akan melahirkan 1,000 usahawan lengkap kemahiran digital untuk memasarkan produk ke peringkat lebih tinggi.
Najwan Halimi - EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan

Ada cabaran, sedikit berbeza sebagai ahli politik tetapi saya masih 90 peratus korporat dan profesional. Di Selangor, kita sudah penggal keempat. Harus, wajib kita membawa pembaharuan lebih besar dan lebih segera.
Jadi, mungkin saya boleh bantu sudut ini supaya kita berikan nafas baharu untuk Kerajaan Negeri menjadi negeri contoh dalam Malaysia terutama dalam perkembangan ekonomi digital dan kepenggunaan teknologi digital di negara kita.
Dr Mohammad Fahmi Ngah - EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi

Antara cabaran saya ialah isu Orang Asli, mereka ada pelbagai masalah seperti isu tanah dan pembangunan. Ada banyak permintaan Orang Asli untuk meningkatkan kemudahan di kampung dan ekonomi mereka.
Dalam aspek sumber manusia pula, saya cuba menyediakan pekerjaan kepada pelajar dan penduduk. Kerajaan Persekutuan memang membantu.
V Papparaidu - EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan

Sebagai EXCO saya kena letakkan hala tuju. Contohnya dalam satu penggal ini, ke mana arah tuju seperti pembangunan wanita, keluarga, kebajikan dan juga ekonomi penjagaan.
Masa sangat pantas berlalu, banyak lagi kerja perlu dilakukan. Insya-Allah saya dan pasukan akan bekerja pantas untuk mencapai hasrat yang disenaraikan.
Anfaal Saari - EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat


